PENDIDIKAN KHAS | MASALAH PEMBELAJARAN

Kami guru Malaysia, sedaya upaya, apa yang kami laksana, patuh aspirasi negaraku, ke arah pendidikan bermakna. Aku Negaraku.

Isnin, 25 April 2022

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM)


Salah satu perkhidmatan JKM adalah menguruskan hal ehwal golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Perkhidmatan yang ditawarkan seperti berikut :

Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

Satu kaedah dalam pembangunan komuniti untuk golongan OKU menjalani pemulihan dalam keluarga dan masyarakat.

Perkhidmatan Institusi Taman Sinar Harapan (TSH)

Institusi ini memberi penjagaan, perlindungan, pemulihan dan latihan kepada OKU Kategori Pembelajaran mengikut kemampuan dan kebolehan masing-masing dan juga memberi perlindungan dan jagaan kepada yang mengalami kecacatan yang teruk.

Perkhidmatan Institusi Bengkel Daya 

Di bawah KPWKM terdapat dua Bengkel Terlindung iaitu Bengkel Daya Klang, Selangor dan Bengkel Daya Sungai Petani, Kedah. Penubuhan bengkel ini adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU yang tidak mampu bersaing di pasaran luar.

Perkhidmatan Institusi Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP)

Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk memberi latihan vokasional dan pemulihan perubatan kepada OKU keutamaannya kategori fizikal. PLPP berperanan sebagai pusat kecemerlangan bagi OKU keutamaannya kategori fizikal yang berteraskan latihan kemahiran, pemulihan, industri alat sokongan dan sukan para, ke arah mendayaupayakan OKU ke tahap paling optimum dan produktif supaya berdaya saing dalam pasaran kerja.

Program Perkhidmatan Job Coach (PPJC)

Program ini telah diperkenalkan yang bertujuan untuk menggalakkan pekerjaan yang berkekalan kepada OKU di pasaran pekerjaan terbuka. Job Coach adalah individu yang dilatih mempunyai berpengalaman dan profesional dalam memberi sokongan kepada OKU. PPJC menyediakan elaun sebanyak RM 15.00 sejam kepada Job Coach yang memberi sokongan pekerjaan kepada OKU. Jumlah maksima yang boleh dituntut oleh setiap OKU yang disokong adalah sebanyak RM 900.00.

Pusat Kehidupan Berdikari atau Independent Living Centre (ILC) 

Merupakan pusat yang menawarkan perkhidmatan asas untuk memperkasakan OKU. Selain memberi tumpuan kepada aspek penentuan matlamat kendiri, kemahiran Independent Living (IL) diberikan agar OKU lebih bersedia untuk memulakan kehidupan berdikari. OKU juga mempunyai tanggungjawab sepenuhnya ke atas diri sendiri dan diberi penghormatan sebagai individu dalam masyarakat.

Majlis Kebangsaan Bagi OKU (MKBOKU)

Peranan Majlis adalah untuk menyelia pelaksanaan dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU, untuk membuat syor kepada Kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU, memantau aktiviti semua kementerian, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU, dan mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat. Enam jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Reka Bentuk Sejagat dan Alam Bina, Jawatankuasa Pengangkutan, Jawatankuasa Quality Life Care, Jawatankuasa Pendidikan, Jawatankuasa Pekerjaan, dan Jawatankuasa Pendaftaran Orang Kurang Upaya.

TASKA OKU 

Salah satu komitmen Kerajaan sebagai langkah penyediaan intervensi awal kepada kanak-kanak OKU melalui Pertubuhan Sukarela Kebajikan ialah dengan penubuhan TASKA OKU.

Pusat Khidmat Setempat (PKS)

PKS Orang Kurang Upaya (OKU) dibina untuk menyediakan perkhidmatan kepada OKU di dalam satu tempat secara bersepadu. Ia berfungsi sebagai Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Pusat Rujukan OKU, Pusat Sumber Maklumat, Pusat Pengesanan Awal Kecacatan, Pusat Khidmat Nasihat dan Pusat Pendaftaran OKU.

Disability Equality Training (DET)

Merupakan satu kaedah yang komprehensif untuk memahami isu-isu berkaitan ketidakupayaan berasaskan pada perspektif Model Sosial. Matlamat utama DET ialah mengubah pandangan dan persepsi masyarakat terhadap isu ketidakupayaan (disability) disamping dapat mengenalpasti puncanya.

Pusat Jagaan

Mengeluarkan senarai pusat jagaan yang berhampiran komuniti.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan